Bekas Pentadbir Koperkasa telah kembali ke rahmatullah
Isnin, 28 Februari 2011 - Bekas Pentadbir Koperkasa, Haji Azizan B. Ab Ghani telah kembali ke rahmatullah pada pagi Isnin, 28 Februari 2011 bersamaan dengan 25 Rabiulawal 1432H.
Semasa Allahyarham masih berkhidmat, Allahyarham merupakan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia cawangan Sabah sebelum bersara. Selepas persaraan Allahyarham daripada kerajaan, Allahyarham telah dilantik menjadi Pengurus Besar kepada Rakyat Asset Management Sdn. Bhd. yang mana syarikat ini telah dilantik oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk mentadbir beberapa koperasi di seluruh Malaysia untuk tempoh tertentu.
Semasa pengambilalihan kawalan Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 22 September 2008, Allahyarham telah dilantik sebagai Pentadbir untuk mentadbir Koperkasa mulai 22 September 2008 hingga 18 September 2010. Allahyarham pada ketika itu bertindak sebagai Anggota Lembaga untuk mengambilalih kawalan ke atas harta, urusan, aktiviti dan hal ehwal Koperkasa dan perbadanan berkaitannya, dan menjalankan kesemua urusan, aktiviti dan hal ehwalnya
Semasa dalam tempoh pentadbiran, Allahyarham telah merancang dan melaksanakan pelbagai pelan untuk pemulihan Koperkasa. Hasil daripada pelan pemulihan tersebut, Allahyarham telah berjaya meningkatkan keuntungan Koperkasa dan mengurangkan perbelanjaan dengan melaksanakan perbelanjaan secara berhemah sebelum penyerahan balik Koperkasa kepada anggota.
Koperkasa amat menghargai jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh Allahyarham semasa dalam tempoh pentadbiran Allahyarham. Allahyarham yang mempunyai perwatakan lembut tetapi tegas amat disenangi di kalangan warga kerja Koperkasa. Dengan kesempatan ini, Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian Allahyarham kerana seluruh warga kerja Koperkasa juga turut merasai kehilangan Allahyarham.
AL-FATIHAH.
|